KOUPUSANKU SOGIGISOM

KOUPUSANKU SOGIGISOM
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, January 25, 2010

Topik: Isu nama untuk muallaf atau saudara baru.

Isu nama untuk muallaf atau saudara baru.

Terdapat dua pendapat mengenai penukaran nama kepada bin Abdullah atau binti Abdullah apabila seseorang memeluk agama Islam.
Pertama: mengikut Quran dan sunnah
Kedua: budaya di Malaysia

Menukar nama kepada bin/binti Abdullah bukan ajaran islam tetapi lebih kepada budaya di Malaysia. Ia tidak pernah diamalkan pada zaman rasulullah saw mahupun di serata dunia, malah hanya diamalkan di malaysia sahaja. Agama Islam boleh menerima semua amalan dan budaya mana-mana bangsa selagi ia tidak bercanggah dengan Quran dan Sunnah.

Apakah nas yang memberitahu kita bahawa menukar nama bapa itu tidak dibenarkan atau bercanggah dengan Quran dan sunnah

Surah Al-Ahzab 33:5 “Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah”

"Sesiapa yang secara memanggil bapanya dengan nama yang lain akan terkeluar dari syurga" Bukhari 8:578, Muslim1:120, Daud 3:5094.

"Sesiapa yang secara sengaja membiarkan dirinya dipanggil sebagai anak kepada yang bukan bapanya adalah melakukan kufur" Bukhari 4:467, Muslim 1:118, Daud 3:5095


Hikmah di sebalik larangan menukar nama bapa
1. Untuk mengelak dari berlakunya pernikahan di antara ahli keluarga yang diharamkan bernikah kerana tidak tahu tentang asal-usul kekeluargaan.

2. Nasab adalah sangat penting di dalam Islam; Allah telah mencipta seorang lelaki sebagai punca pertalian nasab keturunan. Surah Al-Furqan 25:54 “Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya titisan baka dan pertalian keluarga”

3. Untuk menunjukkan bahawa seseorang yang ‘kembali’ kepada Islam itu masih mengekalkan perhubungan anak-bapa seperti biasa dan Islam itu tidak sekali-kali memutuskan pertalian silaturrahim kekeluargaan, malah sebaliknya begitu menitikberatkan hubungan ini.

Rasullullah tidak menukar nama bapa sahabat yang masuk Islam walaupun ia berunsur syirik
Contoh: Abdullah bin Abdul Asad. *(Ibn Al-Jawzee, Sifatus Safwah, Jilid 1 ms. 63).* nama bapanya tidak diubah walaupun mempunyai erti tidak baik iaitu 'Hamba Singa' (Abdul Asad); iaitu secara jelas mengandungi unsur-unsur syirik.Tambahan lagi jika kita lihat contoh-contoh lain seperti Umar Al-Khattab, Ali bin Abu Talib, dan ramai lagi kesemuanya telah mengekalkan nama bapa masing-masing, walaupun mereka tidak memeluk Islam.

Memandangkan tiada nas untuk menukar nama bapa kandung kepada Abdullah (atau apa-apa nama jua pun), dalam kes ini saya bersetuju 100% dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan pertukaran nama bapa kandung.Sebagai seorang muslim apabila kita dirikan ssuatu nas atau bukti, hendaklah kita mematuhi arahan tersebut sepertimana dalam Surah Al-Zumar 39:17-18, “….mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik diantaranya…”

Walaubagaimanapun, bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya terdapat pihak-pihak yang masih memilih untuk mengekalkan pendapat dan tradisi walaupun telah dikemukakan bukti yang menunjukkan pendapat dan tradisi tersebut bercanggah dengan ajaran Islam. Golongan ini ada dinyatakan di dalam Al-Quran (Surah Al-Zukhruf, 43:22-24), “Bahkan mereka berkata ‘sesungguhnya kami telah mendapati datuk nenek kami menurut satu agama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja’ dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta) kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada sesebuah negeri,seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata ,sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja. Rasul itu berkata, adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu agama yang lebih hidayah pertunjuknya daripada jalan agama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya.

Mengekalkan nama asal sebagai nama Islam

Apa sebenarnya nama Islam? Adakah ia nama di dalam Bahasa Arab, Bahasa Malaysia ataupun nama yang mempunyai makna yang baik? Ramai orang berpendapat nama Islam adalah nama dalam bahasa Arab walaupun pada hakikatnya nama Islam adalah sesuatu nama yang mempunyai makna yang baik. Pada zaman nabi Muhammad saw, beribu ribu orang Arab memeluk agama islam ,tetapi pada masa yang sama baginda menasihati hanya segelintir orang Arab untuk menukar nama mereka atas alasan-alasan tertentu. Persoalannya jika nama Arab adalah nama islam ,mengapa baginda menasihati mereka untuk menukar nama? dalam erti kata lain, nama Arab tidak semestinya nama islam.Nama islam adalah nama yang mempunyai makna yang baik, dan ianya boleh dalam apa apa bahasa .

Sekiranya setiap orang Islam wajib mempunyai nama dalam Bahasa Arab, saya rasa orang yang perlu menukar nama mereka adalah orang melayu. Jika kita periksa senarai nama-nama orang melayu islam yang berdaftar di Jabatan Pendaftaran Negara, kita akan dapati tidak kurang daripada 30% daripada orang melayu tidak mempunyai nama dalam bahasa arab. Sekiranya wajib untuk seseorang mempunyai nama dalam Bahasa Arab, maka orang melayu hendaklah terlebih dahulu menunjukkan contoh yang baikdengan menukar nama mereka ke Bahas Arab.

Tambahan lagi, sekiranya wajib untuk seseorang menukar nama apabila memeluk agama Islam, sudah pasti Rasullullah saw telah mengamalkannya. Contohnya, baginda tidak menyuruh nama para Sahabat seperti Salman al-Farisy dari Persia dan Bilal ar-Rabah dari Etopia ditukar ke Bahasa Arab.

Erti nama dalam masyarakat Cina
Sebagai seorang muslim berbangsa Cina, saya berpendapat, mengekalkan nama asal adalah sangat penting kepada sebahagian masyarakat Cina. Ini adalah kerana setiap perkataan dalam nama seseorang yang berbangsa Cina membawa erti yang tersendiri. Contoh: Lim Jooi Soon. Lim adalah nama keluarga, Jooi adalah nama keturunan, Soon adalah nama diri saya, bayangkan sekiranya masuk islam kena buang nama keturunan (jooi) dan nama diri (soon), ini bermakna mereka telah putus pertalian dari nasab keturunan dan pada masa yang sama hilang identiti peribadi. Sudah tentu ini akan mengakibatkan kemarahan dari pihak ibubapa dan keluarga. Ini seolah-olah menunjukkan Islam adalah sebuah agama yang bisa memecah-belahkan institusi kekeluargaan. Satu info yang patut diketahui ramai, sebab penukaran mana ini, ramai non muslim tidak jadi untuk masuk Islam.

Hikmah di sebalik mengekalkan nama asal

1. Sebenarnya ramai orang Cina tidak jadi memeluk Islam kerana mereka diberitahu bahawa mereka perlu membuang nama keturunan dan nama diri. Dari sudut dakwah, kalau mereka dapat kekalkan nama Cina, kita dapat menukar tanggapan masyarakat bukan Islam di Malaysia bahawa agama Islam adalah sebenarnya agama universal dan bukan hakmilik bangsa-bangsa tertentu sahaja.

2. Ini juga dapat memperbetulkan tanggapan bahawa masuk Islam itu adalah masuk Melayu. Masuk Islam bukan bermaksud seseorang masuk Melayu dan mesti meninggalkan semua budaya Cina. Walaupun seseorang Cina itu telah memeluk Islam, beliau masih boleh mengamalkan budaya Cina selagimana budaya tersebut tidak bercanggah dengan syariat Islam. Dengan ini, hubungan silaturrahim dengan keluarga asal tidak putus malah akan dapat meredakan hati kedua ibubapa.

3. Bagi orang yang baru berjinak-jinak dengan Islam, banyak perubahan dan pembaharuan yang perlu dilalui. Dengan mengekalkan nama asal, ia mungkin dapat membantu mereka membuat keputusan untuk menerima Islam.

4. Bagi orang yang bukan Islam atau belum bersedia untuk memeluk Islam, sekurang-kurangnya mereka mempunyai tanggapan yang betul dan baik mengenai Islam.

Bagi seseorang berbangsa Cina yang ingin memeluk Islam, saya berpendapat beliau wajar diberi salah satu dari tiga pilihan berikut:


1. Mengekalkan nama asal sepenuhnya, contohnya (Lim Jooi Soon). Penting bagi mereka yang ingin mengekalkan nama generasi dan nama diri mereka. Meletakkan “bin” di hujung nama adalah bukan budaya orang Cina tetapi sekiranya ingin meletakkan “bin” tidak menjadi masalah asalkan nama tersebut ber”bin”kan bapa kandung dan bukan nama lain seperti Abdullah (Lim Jooi Soon bin Lim Hong Nam). Berbeza dengan budaya orang India yang memang meletakkan “anak lelaki” ataupun “bin” Secara ringkas seseorang boleh meletakkan dengan syarat ber”bin”kan bapa kandung sendiri contohya (Shah Kirit bin Kalkulal Govindji)

2. Memilih nama Arab yang mempunyai makna yang baik disamping mengekalkan nama asal sepenuhnya (Abdul Rahman Lim Jooi Soon). Tambahan nama Arab ini adalah satu pilihan bagi mereka yang ingin mempunyai nama Arab yang baik dan ianya bukan satu kewajiban.
Walau bagaimanapun ada pihak yang sangsi sekiranya tiada nama Islam (Arab/ Melayu), Soalan yang sering dicetus adalah bagaimana saudara-saudara baru ini dapat dikenalpasti identity mereka sebagai saudara baru di dalam Islam?

Untuk menjawab persoalan ini, mari kita perhatikan bagaimana Rasullullah saw mengenali saudara-saudara Islam di negara Arab pada zaman baginda. Adakah baginda menilai dari segi nama, pakaian ataupun amalan mereka? Sudah tentu bukan dari segi nama atau pakaian kerana mereka semua mempunyai nama Arab dan pakaian yang serupa.

Seterusnya ada juga yang khuatir sekiranya tanpa nama Islam (Arab/Melayu) maka banyak masalah akan timbul jika seseorang itu meninggal dunia dan identiti muslimnya tidak diketahui ramai. Sebenarnya ini bukan satu masalah kerana status agama Islam ada dinyatakan dalam “MyKad” dan juga dalam kad Islam yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam.

3. Memilih nama Arab yang mempunyai makna yang baik dan mengekalkan nama keluarga atau “surname” (Abdul Rahman Lim atau Abdul Rahman bin Lim Hong Nam).

From: brother lim jooi soon

No comments: